Thursday, December 9, 2010

Ana Raffali + Monoloque = Analoque

BAIK Ana Raffali mahupun Monoloque, kedua-duanya semakin popular di mata peminat sekarang.
Gadis berusia 24 tahun ini memikat dengan vokal manja menerusi lagu Kalau Berpacaran gandingan dengan Sohaimi Mior Hassan dan Altimet manakala Monoloque pula diminati kerana gandingan suara penyanyinya, Loque dan Atilia menerusi lagu Kanda Dinda.

Tidak hairanlah kombinasi dua nama ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Glam Rok Enterprise dan YB Pictures apabila berani mempertaruhkan mereka dalam satu konsert dinamakan Konsert Analoque - Ana Raffali & Monoloque yang berkonsep akustik pada 19 Disember ini.
Lokasi yang dipilih pula bukan calang-calang kerana diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Dengan tiket yang dikenakan berharga RM59, konsert ini akan berlangsung selama dua sesi iaitu pada jam 3 petang dan 8.45 malam. Penganjur, Helmi Antong, berkata pemilihan mereka ini bukan melulu kerana dibuat berdasarkan kajian pelbagai sumber. Melihatkan reaksi positif, pihaknya yakin dengan sambutan peminat lalu mengusulkan kertas cadangan yang diterima baik Istana Budaya (IB).

"Kami berpengalaman terbabit dengan penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa. Dua bulan lepas kami hantar kertas cadangan dan bersyukur kerana diterima. "Pemilihan dibuat selepas mengkaji trend industri muzik sekarang. Kami lihat di YouTube, lebih 300,000 peminat sudah melihat klip video Ana Raffali. Peminatnya di Internet juga menjangkau 70,000 orang.

"Begitu juga populariti Monoloque yang asalnya dari kumpulan Butterfingers yang ada peminat begitu ramai. "Ia satu perkara yang boleh dibawa ke IB dan penerimaan mereka untuk beraksi mengubah persepsi bahawa kumpulan rock juga boleh dibawa beraksi di pentas berprestij seperti ini jika kena pada cara," katanya pada sidang media yang diadakan, baru-baru ini.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani atau Abang Jo pula berkata, memang rezeki mereka kerana kebetulan teater muzikal Kampung Boy karya Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat yang sepatutnya dipentaskan di IB pada tarikh sama, ditunda kepada tahun depan. "Sebenarnya banyak permintaan daripada penganjur untuk buat aktiviti di Laman Sari, tetapi terpaksa ditolak kerana kami tak nak mengganggu tumpuan persembahan yang berlangsung di pentas utama, Panggung Sari. "Saya sebenarnya suka orang muda seperti Ana Raffali buat persembahan di sini kerana mahu tarik golongan peminat baru ke IB. "Saya harap konsert ini mengulangi kejayaan konsert Butterfingers yang diadakan pada tahun lalu. Ramai peminat yang hadir memenuhi dewan ini. Walaupun orang kata konsert rock sukar dikawal, tapi nampaknya peminat yang hadir tetap berdisiplin sekali gus menjadikan perjalanan konsert ini lancar," katanya.

Persembahan Ana Raffali akan diiringi pemuziknya The Marhaens yang dibarisi oleh pemuzik Aidit Alfian, GG, Geeka, Pito, Rohnie dan Nazrin. Monoloque pula dibarisi oleh barisan asal Butterfingers iaitu Loque, Kadax, Loko, Ijoo dan Adam. Hampir 30 buah lagu akan dinyanyikan mereka. Pentas akan dibuka oleh Monoloque yang menampilkan lagu dari zaman kegemilangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, R Azmi serta pada zaman kegemilangan Butterfingers dan Monoloque.

"Terima kasih pada IB yang sudi terima kami buat kali kedua. Memang sangat bersejarah apabila kami mengakhiri kewujudan Butterfingers di tempat berprestij seperti ini. "Sekarang kami diberi peluang lagi dan saya sangat bersyukur. Ini juga kali pertama kami digandingkan dengan Ana dalam satu konsert dan kami berjanji akan menampilkan persembahan menarik.

"Walaupun berkonsep akustik elektrik, kami tidaklah menampilkan akustik 100 peratus sebaliknya menggabungkan konsep nusantara dan pop muzik. Pilihan ini dirasakan sangat menarik untuk dihayati peminat," ujar Loque.

Ana pula seronok dapat bekerjasama dengan Loque dan Butterfingers yang dianggap sudah lama terkenal. Bahkan dia juga adalah peminat Butterfingers dan menganggap impiannya menjadi kenyataan.

"Ketika remaja lagi saya sudah teringin nak beraksi dengan Butterfingers. "Walaupun hanya di Lambang Sari dan bukannya pentas utama, saya tetap berbangga dengan peluang yang diberikan. "Sekarang kami dalam proses menjalinkan keserasian. Latihan dibuat selama dua minggu secara berasingan dan pada peringkat akhir baru kami bergandingan.

"Kami hanya berganding dalam tiga lagu antaranya Kalau Berpacaran dan Kanda Dinda dan selebihnya akan buat persembahan solo. "Jadi saya lebihkan tumpuan pada persembahan solo supaya peminat akan terhibur. "Bagaimanapun kami menjanjikan gabungan ini paling gempak agar peminat yang datang berasa puas," katanya.

Baru setahun jagung dalam industri hiburan, tetapi Ana Raffali sudah diberikan peluang menyanyi di IB. Mungkin ada yang cemburukannya kerana penyanyi yang lama pun masih tercari-cari peluang menyanyi di tempat berprestij itu. Namun jika sudah rezekinya apa lagi hendak dikatakan.

Peminat yang mahu menonton Konsert Analoque boleh mendapatkan tiket di kaunter tiket box-office, IB serta boleh melayari http://bit.ly/gxBvq1

No comments:

Post a Comment